Kertas kerja ini membincangkan sifat kebolehmampatan tanah gambut berdasarkan
hasil ujian pengukuhan menggunakan sel Rowe dengan pengukuran tekanan air liang lebihan.
Ujian piawaian makmal menunjukkan bahawa tanah yang digunakan dalam kajian ini boleh
dikelaskan sebagai gambut gentian dengan darjah penguraian rendah ke sederhana serta
kandungan organik dan gentian yang tinggi. Ia merupakan jenis tanah gambut yang biasa
ditemukan di Semenanjung Malaysia. Hasil ujian pengukuhan menunjukkan bahawa
kebolehtelapan mula tanah adalah tinggi dengan nilai kebolehtelapan malar 3.15, dan mampatan
sekunder yang cukup besar dengan kelajuan yang tidak malar terhadap logaritma masa.
Mampatan sekunder bermula bila tanah mencapai darjah pengukuhan 65%. Kajian menunjukkan
bahawa pengujian kebolehmampatan dengan menggunakan sel Rowe dan pengukuran tekanan
air liang lebihan lebih baik kerana ia membolehkan penyiasatan tindak balas tanah terhadap
bebanan pada kadar terikan yang tinggi hingga membenarkan penyelidikan sifat
kebolehmampatan tanah untuk masa yang lebih lama. Pemisahan pemampatan primer dan
sekunder sangat penting bagi evaluasi sifat pemampatan tanah gambut gentian.