Tujuan kertas kerja ini adalah untuk menyelidiki kesan proses elektrokoagulasi (EC)
bagi mengurangkan pepejal terampai dari air sisa. Di dalam ujikaji berskala makmal
menggunakan sel elektrokimia jujukan, dua keping plat besi (Fe) monopolar telah digunakan
sebagai elektrod (anod dan katod). Susu tepung dengan kepekatan 700 mg/L, telah diolah
menggunakan HCl 1 M sebagai pengawal pH dan elektrolit. Keputusan awal mendapati bahawa
teknologi EC mampu meningkatkan penyingkiran pepejal terampai, kekeruhan dan COD. Kadar
penyingkiran ini meningkat seiring dengan tempoh pengolahan dan tempoh pemendapan.